Shamsul Iskandar lari dari Melaka ke Bagan Datuk



Hasrat pengasas bersama kumpulan reformasi politik, Gerak Independent Tawfik Ismail untuk menjadi calon PH di Bagan Datok - kerusi yang dipegang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - mungkin tidak akan diterima, menurut Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

"Memandangkan permohonan Tawfik boleh dikira di saat akhir, agak sukar untuk ia diterima sekarang.

"Buat masa sekarang, PKR mungkin akan meletakkan Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk," kata Chang kepada Malaysiakini.

Shamsul Iskandar adalah penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya. Dia menang di situ selepas menewaskan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam dengan perbezaan 8,640 undi pada PRU 2018.


Menurut Chang, dia setakat ini belum melihat Tawfik membuat sebarang permohonan rasmi berkenaan hasratnya itu.

"Saya tak tahu jika Tawfiq ada buat permohonan itu kepada mana-mana pemimpin dalam PKR, tapi saya boleh beritahu yang kepimpinan pusat tidak pernah membincangkannya," katanya.

Chang merupakan antara pemimpin PKR yang terlibat dalam rundingan kerusi dalam PH.

Tawfik ketika dihubungi pula berkata, dia telah membuat permohonan itu kepada beberapa pemimpin PH.

"Setakat ini, Lim Kit Siang beri respons positif dan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga sudah terima tetapi setakat ini dia belum beri respons.


"Kami akan tunggu untuk Anwar dan Amanah beri respons. Anwar adalah pemimpin yang tandatangan watikah pencalonan," kata anak sulung timbalan perdana menteri kedua Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu.

Menurut Tawfik, jika PH tidak menerima permohonannya, dia akan bertanding sebagai calon bebas dalam PRU15.

Dia pernah menjadi ahli parlimen Sungai Benut sebelum meninggalkan Umno pada 1987.

Ketika menyatakan hasrat itu pada 23 Oktober lalu, Tawfik berkata ia bagi mengelakkan perpecahan undi antara dia dan calon gabungan itu.


“Untuk mengelakkan undi berpecah dalam mengejar matlamat yang sama, saya menawarkan pencalonan saya kepada PH sebagai calon di bawah logo mereka,” katanya.

Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

Kesemua kerusi berkenaan dimenangi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 2018.

Empat daripada kerusi itu dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi dimenangi DAP. P Prabakaran, yang menang di Batu atas tiket Bebas pada PRU lalu, telah menyertai PKR. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram