KUALA TERENGGANU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas tidak
berhasrat ingin bermusuh dengan Barisan Nasional (BN) selepas mengambil
keputusan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam
Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, beliau berkata, Pas mendapati masih terdapat ‘kekeruhan’ yang
membelenggu BN melibatkan beberapa perkara antaranya isu rasuah yang belum
selesai.
“Barisan Nasional ini ada keruhnya. (Isu) Penerima rasuah tidak selesai lagi.
Kita tahu penerima rasuah ini ada yang dituduh dan difitnah tetapi tidak
selesai lagi.
“Bukan kita hendak bermusuh, kita tidak bermusuh tetapi kerana ada keruh.
Kerana keruh ini kita tangguh dahulu (kerjasama dengan BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Dhuha di Pantai Kelulut di
sini, hari ini.
Abdul Hadi menambah, beliau juga mendakwa kecuaian BN dalam melaksanakan
perjuangan Islam ketika mentadbir negara menyebabkan Pas menangguhkan
kerjasama dalam PRU15 ini.
“Kita (Pas) hendak laksanakan Islam di Terengganu dan Kelantan tetapi dia (BN)
rampas royalti (minyak). Hasil minyak Terengganu dia rampas, yang Kelantan dia
tidak beri,” katanya.
Selain itu, Abdul Hadi juga berkata, keputusan BN untuk mengadakan PRU15 pada
waktu terdekat ini dalam keadaan kebanyakan negeri sedang melakukan persiapan
menghadapi banjir, menggambarkan kegopohan BN untuk memperoleh kuasa.
Sehubungan itu, katanya, Pas memilih untuk menjalin kerjasama dengan PN bagi
menjernihkan keadaan meskipun mengakui bakal berhadapan jalan yang sukar dalam
PRU15 ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
- UMNO parti ‘keruh’, dakwa Hadi
- Zahid pilih tidak mahu aibkan PAS, respon komen Hadi UMNO parti 'keruh'
Join our Telegram Channel