Akar umbi Umno gesa Zahid, Tok Mat berundur



PETALING JAYA: Pemuda Umno Bahagian Kota Raja menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Mohamad Hasan meletak jawatan segera susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, kekalahan itu sebahagian besarnya disebabkan tindakan Zahid yang membelakangkan parti dalam proses pemberian watikah calon.

Beberapa nama besar digugurkan daripada senarai calon pilihan raya BN termasuk Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh), Halimah Sadique (Kota Tinggi), Dr Adham Baba (Tenggara) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).


Sheikh Weshal juga berkata, Zahid gagal memahami kehendak pengundi hingga mengelirukan ahli seolah-olah parti akan menang besar jika PRU diadakan pada tahun ini.

“Justeru, Pemuda Umno Bahagian Kota Raja menyeru Ahmad Zahid Hamidi agar bertanggungjawab atas kekalahan ini dan meletak jawatan seperti mana yang dilakukan Najib Razak apabila parti kalah pada PRU14.

“Kami juga meminta Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengotakan janji beliau untuk meletak jawatan sekiranya BN gagal memenangi pilihan raya kali ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk sebarang rundingan Umno dengan parti lain untuk membentuk kerajaan seterusnya dilakukan oleh Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.


Kenyataan Pemuda Umno Bahagian Kota Raja itu menyusul gesaan serupa oleh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi agar Zahid meletak jawatan berikutan prestasi buruk BN itu.

Onn berkata, jelas bahawa Melayu telah menolak parti itu, apabila Umno dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor dan langsung tiada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu.

Beliau turut memberi amaran gabungan itu tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang jika tidak melakukan perubahan sekarang.

Pada PRU15, BN hanya mampu menang 30 kerusi, berbanding Pakatan Harapan yang memperoleh 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram