PRU15: PN mungkin gabung BN, GPS dan GRS bentuk kerajaan



PETALING JAYA- Perikatan Nasional (PN) mungkin akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan baharu selepas tiada parti yang berjaya memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat pukul 4.30 pagi tadi, PN berjaya memperoleh sebanyak 73 kerusi manakala BN (30), GPS (22) dan GRS (6) selain Pakatan Harapan (PH) memperoleh kerusi terbanyak iaitu 76.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, memandangkan tiada mana-mana parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu sebanyak 112 bagi membentuk kerajaan baharu, maka rundingan antara parti politik perlu diadakan bagi mencapai angka berkenaan.


“Dalam konteks ini, saya menjangkakan, PN akan berunding bersama BN dan parti-parti di Sabah dan Sarawak iaitu GPS dan GRS untuk memperoleh angka mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu.

“Jadi, parti-parti terlibat terutamanya GPS dan GRS akan membuat perbincangan dan memutuskan untuk bekerjasama atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan sama ada GPS dan GRS akan memberikan sokongan kepada PH untuk membentuk kerajaan, Ahmad Marthada berkata, PH mungkin berpeluang rendah untuk bekerjasama dengan dua parti terbabit.

“GPS dan GRS mungkin tidak berminat untuk bersama PH, jadi mereka mungkin gagal mendapat sokongan dua parti itu,” ujarnya ringkas.


Tadi, SPR memaklumkan bahawa tiada parti yang bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang serta Perak dalam PRU15 menang dengan undian majoriti.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan semalam, PH telah memenangi 76 kerusi diikuti PN (51) dan BN (30).

“GPS dan Pas masing-masing memenangi 22 kerusi, GRS (6), DAP (5), Parti Warisan (3), Ikatan Demokratik Rakyat (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan calon Bebas masing-masing satu kerusi.

“Bagaimanapun, terdapat tiga bahagian pilihan raya yang tidak dapat diumumkan iaitu Parlimen Padang Serai, susulan kematian salah seorang calon dan Parlimen Baram serta Parlimen Kota Marudu berikutan faktor cuaca buruk,” katanya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram