Lelaki disyaki penyokong PH atau PN ‘mabuk’ rosakkan bendera BN



KULAI – Seorang lelaki disyaki mabuk ditahan kerana mematahkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) dalam satu kejadian di Taman Senai Utama, Senai di sini lewat tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek ditahan pada pukul 12.15 tengah malam berusia 58 tahun.

Menurut beliau, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


“Malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.

“Polis kemudiannya telah menahan suspek yang berusia 58 tahun tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beng Yeow turut memberitahu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Sementara itu, Calon BN bagi kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon memberitahu, suspek turut bertindak memarahi jenteranya yang sedang memasang bahan kempen tersebut.

“Jentera kempen bukan sahaja dimarah dan dihalang, malah bendera yang telah dipasang turut ditanggalkan. Kerana enggan terlibat dengan pertikaian tersebut, jentera kami berundur daripada kawasan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung gangguan itu.

“Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut yang disifatkan merupakan satu strategi kempen tidak sihat yang tidak sepatutnya berlaku pada masa kini,” katanya. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram