Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak, khususnya anggota parti agar memahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan Presden PKR, Anwar Ibrahim, parti DAP dan Bersatu sebelum ini adalah hanya untuk berdepan PRU15.
Malah, menurutnya, kerjasama yang dibentuk di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang juga dianggotai oleh DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak mengabaikan prinsip Umno.
"Ini berdasarkan dua perkara. Yang pertama, penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada PRU15 bukannya untuk pasca pilihan raya.
"Kedua, kerjasama ini adalah berlandaskan titah DYMM Yang di-Pertuan Agong yang inginkan Kerajaan Perpaduan terbentuk," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Zahid yang juga adalah pengerusi BN berkata, selepas PRU15, rakyat seharusnya merapatkan barisan.
"Umpama 'lidi seikat' ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada Umno dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam," katanya.
Dia berkata kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti Umno yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam.
"Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif.
"Umno tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan," katanya.
Zahid juga menegaskan Umno menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik.
"Sebaliknya Umno secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Dia turut berkata kerjasama BN dan PH di Perak dan Pahang, khususnya adalah bagi memastikan kesinambungan dalam kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negeri-negeri berkenaan.
"Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.
Join our Telegram Channel