PKR teliti semula calon di Sungai Buloh selepas BN letak KJ



PKR mengkaji semula pemilihan calonnya untuk kerusi parlimen Sungai Buloh selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai calon BN di kawasan itu malam tadi.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan presiden parti terbabit, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Rafizi menyatakan, langkah untuk PKR mengkaji semula kesesuaian calon bagi kerusi tersebut adalah berdasarkan "maklum balas daripada pengundi Sungai Buloh".

"Saya akan berbincang dengan Anwar mengenai maklum balas pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.


"Saya hargai semua pandangan.

"Keputusan akhir adalah keputusan beliau (Anwar) sebagai presiden parti," ciap Rafizi pagi ini.

Pada 2018 PKR meletakkan R Sivarasa sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dan dia mencapai kemenangan selesa apabila memperolehi 43,631 undi.

Sivarasa yang juga seorang peguam dibezakan sebanyak 26,634 undi daripada pencabar terdekatnya, Nuridah Mohd Salleh dari PAS.

Kali ini PKR menggantikan Sivarasa dengan timbalan ketua penerangan parti itu R Ramanan. Ia merupakan penyertaan kali pertama Ramanan dalam PRU.

Dia merupakan bekas bendahari agung MIC yang meninggalkan parti terbabit ada 2014 apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya memulangkan wang berjumlah RM5.5 juta yang diperolehi melalui penipuan.


Pada masa itu, dia dilaporkan berkata dia merayu keputusan itu dan bersedia membayar jumlah yang dinyatakan kepada plaintif.

Berdasarkan data pada 2018, Sungai Buloh merupakan kerusi campuran dengan 66 peratus daripada 90,707 pemilih adalah Melayu, 22 peratus Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus etnik lain.

Khairy pula merupakan bekas ketua Pemuda Umno Malaysia dan dia mendapat pujian ramai semasa mengendalikan ancaman wabak Covid-19 sebelum ini.

Pada 2018 dia bertanding di Rembau, namun dipindahkan partinya ke Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Khairy memenangi kerusi Rembau selama tiga penggal. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram