PN kekal pendirian enggan bergabung dengan kerajaan perpaduan



Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri ke-10.

Muhyiddin berkata PN kini akan memainkan peranan semak dan imbang di parlimen, sekali gus memberi gambaran gabungan itu tidak akan menerima tawaran untuk menyertai pentadbiran Anwar.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin meminta sekutu dan penyokong mereka teruskan perjuangan dalam PN.


Hamzah juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan berkata keputusan pilihan raya menunjukkan gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia, terutamanya pengundi muda.

PN memenangi 73 kerusi, yang kedua terbanyak selepas PH yang memenangi 82 kerusi.

PN juga hanya tewas di satu kerusi parlimen di Perlis, selain menyapu bersih Kedah, Terengganu dan Kelantan, dan telah membentuk kerajaan negeri di negeri berkenaan. – Mkini


KENYATAAN MEDIA

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan, Perikatan Nasional akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Pengerusi
Perikatan Nasional



Join our Telegram Channel
Telegram