Tak hirau amaran Muhyiddin, Takiyuddin pertahan kenyataan bergabung dengan BN



Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, hari ini mengulangi pendirian parti itu untuk terbuka kepada kemungkinan bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan sekiranya tiada mana-mana pihak mendapat majoriti mudah 112 kerusi.

Bercakap kepada media di Kota Bharu, Takiyuddin berkata, pendirian PAS adalah "jelas" berhubung perkara itu.

Bahkan, kata penyandang kerusi parlimen Kota Bharu itu, dia sudah membuat rujukan kepada Presiden PAS, Abdul Abdul Hadi Awang, sebelum membuat kenyataan berkenaan.

"Pendirian PAS adalah jelas. Kalau kita perlu gabungan, pilihan terdekat (yang ada) ialah gabungan dengan BN.


"Begitu juga (gabungan) dengan parti lain dalam BN," katanya selepas meninjau pusat pengundian awal di Taman Asuhan Kanak-kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Terdahulu media memetik Takiyuddin yang menyatakan bahawa PAS tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian selepas Sabtu ini.

Menurut Takiyuddin, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PNjuga pernah menyatakan hal tersebut.

Bagaimanapun kenyataan Takiyuddin yang ditemui media di Ketereh malam tadi itu dinafikan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam kenyataan menjelaskan bahawa dia tidak pernah memberi mandat atau melantik Takiyuddin untuk berunding dengan BN.


Untuk rekod sebelum ini Muhyiddin pernah mengisytiharkan bahawa musuh utama PN ialah BN, namun ia mengundang reaksi yang lunak daripada PAS.

PAS - melalui Takiyuddin juga - pada 20 Sept lalu menegaskan bahawa musuh utama mereka ialah Pakatan Harapan (PH) dan bukannya BN.

Hari ini penyandang kerusi parlimen Kota Bharu itu menjelaskan PAS berpendirian musuh utama mereka masih lagi PH dan tidak akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan.

Sementara itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan kemudian menjelaskan Takiyuddin menganggap laporan media mengenai isu berkenaan dipetik di luar konteks.

Kenyataan bertulis daripada Takiyuddin itu juga menyebut tajuk berita yang melaporkannya sebagai "mengelirukan pengundi."


Mampu jadi kerajaan sendirian

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan perdana menteri adalah daripada PN.

"Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, stabil dan bersih.

"Dengan kenyataan yang jelas ini maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit, dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU ke-15," katanya. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram