Guan Eng tak kisah tiada dalam Kabinet



PETALING JAYA – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memaklumkan beliau tidak terganggu dengan dakwaan yang mengatakan kemungkinan akan dikecualikan daripada Kabinet.

Guan Eng dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, beliau serahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah prerogatif Perdana Menteri untuk memutuskan pelantikan ahli Kabinet.

“Saya telah ditanya berulang kali oleh media mengenai spekulasi akhbar bahawa saya tidak akan berada dalam Kabinet. Pelantikan Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri.


“Sama ada saya berada dalam Kabinet atau tidak adalah perkara kedua kepada kepentingan bahawa masa depan negara kita tidak boleh dicuri,” katanya di sini hari ini.

Guan Eng turut menegaskan beliau bersedia untuk berkhidmat demi kepentingan negara yang dianggap lebih utama.

“Izinkan saya menyatakan kesediaan saya untuk berkhidmat dalam apa jua kapasiti asalkan ia memenuhi kepentingan negara yang lebih besar.

“Asalkan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri boleh terus berfungsi dan kekal stabil terhadap kuasa ekstremis yang cuba melemahkan dan menggulingkannya,” katanya.


Guan Eng berkata, Pakatan Harapan layak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Bersama-sama dengan Barisan Nasional dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, Kerajaan Perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas yang mewakili kehendak rakyat bukan sahaja mewakili satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang pelbagai.

“Ini adalah Kerajaan Perpaduan Malaysia,” ujarnya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram