Mungkin perlu diteliti ditelusuri isu 1BestariNet, dana RM500b, menteri KKOM jawab Muhyiddin



KENYATAAN MEDIA

Menjawab Tan Sri Muhyiddin

Hari ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melemparkan fitnah dan tuduhan yang keterlaluan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan ini yang telah dilantik dan dibentuk di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Mungkin Tan Sri Muhyiddin lupa, tetapi ini bukan lah Kerajaan Pakatan Harapan di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini. Ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri.


Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Jemaah Menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti. Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok Kartel dalam parti dipersenjatakan (weaponised) lalu mewujudkan keadaan “parti dalam parti” (party in a party) yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti.

Maka berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini, dan menginsafi apa yang pernah terjadi, maka YAB Perdana Menteri dan ketua parti dan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan ini telah bersetuju bahawa senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.


Penting saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes.

Tan Sri Muhyiddin, hentikan lah serangan polemik yang mengeruhkan dan cuba mengelirukan rakyat.

Penting untuk kita ingat bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik.

FAHMI FADZIL




Join our Telegram Channel
Telegram