PM tawar jawatan menteri tetapi saya tolak, kata Gobind



PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata beliau menolak tawaran jawatan menteri daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Damansara itu memberitahu ramai yang bertanya mengapa nama beliau tiada dalam senarai Jemaah Menteri yang diumumkan Anwar semalam.

“Perdana menteri ada bertanya kepada saya untuk menganggotai Jemaah Menteri. Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian.


“Saya mahu memberi tumpuan kepada tugas saya sebagai Ahli Parlimen dan membantu kerajaan dalam apa semua cara yang saya boleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Gobind juga turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas tawaran tersebut.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh saya terhadap kepimpinan perdana menteri dan percaya bahawa beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.


Semalam, Anwar mengumumkan barisan 28 Jemaah Menteri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan lain-lain parti.

Empat orang ahli Parlimen daripada DAP diumumkan sebagai ahli Jemaah Menteri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sekali lagi dipilih sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Nga Kor Ming, V Sivakumar dan Hannah Yeoh masing-masing dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Manusia serta Menteri Belia dan Sukan. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram