Sambutan ambang Tahun Baharu 2023 batal



PUTRAJAYA: Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Dis ini dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Oleh kerana keadaan banjir dan kesusahan rakyat, kita putuskan sambutan besar-besaran ambang Tahun Baharu 31 Dis di Dataran Merdeka dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri.

Anwar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberi tumpuan soal banjir di Kelantan dan Terengganu dan beliau sendiri akan turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan di sana, petang ini.


Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah sampai di kedua-dua negeri berkenaan dan memantau serta mengambil beberapa tindakan segera, dan telah melaporkan kepada Jemaah Menteri, dalam mesyuarat tadi.

“Saya akan ke Kelantan dan pengumuman (berkaitan) banjir akan diumumkan di sana setelah mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri juga ada membincangkan sepintas lalu mengenai perkembangan di Parlimen dua hari lalu berhubung usul percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Ahli Parlimen Tambun itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai perdana menteri ke-10 apabila usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan disokong Zahid.


“Kita boleh tumpu sekarang soal kerja, menjana pertumbuhan ekonomi dan lebih pesat, kerana mandat yang diberikan itu jelas,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Fadillah yang membentangkan usul yang diterima baik.

“Hampir sebulat suara pada hari berkenaan (dan) walaupun kalau ada pengundian, undi dua pertiga itu memang terjamin. Jadi, saya ambil kesempatan ucap terima kasih pada semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan kebetulan dalam kes ini tidak ada yang bantah dari pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, mandat besar yang diterima adalah untuk kerajaan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap menjamin tatakelola pemerintahan dan urus tadbir yang lebih berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram