KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
"Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri Borneo di Malaysia.
"Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah," katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata berikutan tindakan itu, mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan BERSATU.
Bagaimanapun, katanya untuk sementara waktu ini, mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
"Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepemimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara.
Pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu. - Foto FB Hajiji Haji Noor |
"Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.
"Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, keputusan kepemimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Katanya, ia kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar.
"Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.
"Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepemimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU," katanya.
BERSATU melebarkan sayap ke Sabah pada 2019 selepas bekas pemimpin UMNO negeri yang diketuai Hajiji menyertai parti itu sebagai landasan baharu politik mereka.
Pada September 2020, BERSATU Sabah bersama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) membentuk GRS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) bersama BN.
Ketika ini parti itu mempunyai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua ADUN Dilantik dan lima Ahli Parlimen. – Bharian
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kenyataan anti-Kristian: Muhyiddin tak layak jadi PM, orang Sarawak bimbang kerjasama dengan PAS
- Semua pemimpin BERSATU Sabah keluar parti, kekal bawah GRS – Hajiji
- Bekas pemimpin Bersatu Sabah tak kenang budi – Wan Fayhsal
- Muhyiddin kecewa bekas pemimpin Bersatu Sabah tidak setia
- 4 MP GRS keluar Bersatu tidak akan hilang kerusi – Peguam
- Keputusan tepat pemimpin Bersatu Sabah keluar parti – Zahid
- Wan Junaidi: 4 MP GRS tak perlu kosongkan kerusi, keluar Bersatu Okt lalu
Join our Telegram Channel