Wan Junaidi: 4 MP GRS tak perlu kosongkan kerusi, keluar Bersatu Okt lalu



Empat ahli parlimen Sabah yang meninggalkan Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana sudah keluar parti pada awal Oktober, sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai yang diterimanya, dia berkata empat wakil rakyat GRS itu bertanding sebagai anggota langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bukan bawah Bersatu.

“Saya ingin membuat penjelasan mengenai empat ahli parlimen GRS yang tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

“Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, keempat-empat ahli parlimen Bersatu ini sudah meletak jawatan dalam parti pada awal Oktober iaitu sebelum PRU15.


“Jika itu situasinya, saya bersetuju dengan Peguam Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mana Akta antilompat parti tidak terkesan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan bersama Tengku Fuad hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Wan Junaidi dan Fuad, yang juga penasihat undang-undang kerajaan Sabah.

Untuk rekod, Wan Junaidi ialah menteri yang menyelia kelulusan undang-undang antilompat parti pada awal tahun ini.

Kedua-dua Wan Junaidi dan Fuad juga bersetuju bahawa keahlian empat ahli parlimen itu dengan Bersatu berakhir pada awal Oktober, sebelum pilihan raya umum berlangsung.

Oleh yang demikian kata mereka, empat wakil rakyat GRS itu (gambar, atas) tidak melanggar akta antilompat parti.


Pendirian Wan Junaidi bersama Fuad ini berbeza dengan kenyataannya semalam, apabila Wan Junaidi berkata empat ahli parlimen Sabah terbabit tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan kerusi mereka sebaik sahaja keluar daripada parti itu secara rasmi.

Empat ahli parlimen GRS itu ialah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Ini berlaku di tengah-tengah persoalan jika ahli parlimen yang keluar parti akan tertakluk untuk mengosongkan kerusi mereka di bawah undang-undang antilompat parti.

Pengerusi GRS Hajiji Noor pada 10 Dis mengumumkan semua ahli parlimen Bersatu Sabah - kecuali Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee - akan keluar parti sementara mengikrarkan sokongan untuk GRS. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram