Tanpa Muhyiddin, ‘penyatuan’ BN-PN boleh jadi kenyataan – Sumber Bersatu



PETALING JAYA: Perubahan dalam kepimpinan Bersatu mungkin menjadi pemangkin kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menawan semula Putrajaya melalui pakatan baharu dengan Barisan Nasional (BN), kata seorang sumber dalaman parti.

Seorang pemimpin Bersatu yang enggan dikenali berkata, PN telah terlepas peluang untuk membentuk kerajaan selepas PRU lalu kerana Pengerusi PN Muhyiddin Yassin bertegas untuk menjadi perdana menteri.


Sumber itu berkata, ramai dalam Bersatu percaya Umno mungkin lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mereka jika ia dipimpin oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.


“Bersatu pimpinan Hamzah boleh bekerjasama dengan Umno dan PAS. Kunci kepada penerimaan Umno ialah Hamzah, yang tidak mahu ‘membunuh’ Umno, bukan seperti Muhyiddin,” kata sumber itu kepada FMT.

“Beliau lebih terbuka untuk berkongsi kuasa (dengan Umno). Realitinya semua orang tahu gabungan Umno-Bersatu-PAS tidak akan dapat dihalang.”

Sumber itu juga berkata, enam bulan akan datang adalah penting untuk “penyatuan” Barisan Nasional (BN)-PN dan rakyat menantikan Muafakat Nasional 2.0 seperti itu.



Keputusan PRU15 menyebabkan Parlimen tergantung kerana tiada gabungan memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

PH mempunyai 82 kerusi, termasuk satu kerusi daripada Muda dan lima daripada DAP Sarawak, dan mempunyai jumlah terbesar dalam kalangan gabungan itu. PN menang 73, dengan PAS menyumbang 49, manakala BN menang 30, di mana Umno terdiri 26 kerusi.


Hamzah kemudian berkata, Majlis Tertinggi PN bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH, tetapi Muhyiddin menutup pintu untuk sebarang kerjasama, sambil menambah bahawa gabungannya akan menjadi pembangkang. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram