UMNO tidak boleh salah langkah lagi, singkir semua pengkhianat



KETIKA ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdepan cabaran yang paling getir dalam sejarah parti itu.

Harus diakui, usaha memulihkan UMNO dan BN selepas apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu tugas yang mudah.

UMNO bukan sahaja menjadi mangsa akibat persepsi negatif yang disuapkan oleh pihak lawan kepada rakyat semasa kempen PRU-15, malah ia berdepan pengkhianatan dari dalam parti sendiri.

Episod ‘tikam belakang’ dalam UMNO bermula selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan di mana segelintir pemimpinnya dikatakan lebih taat terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding Presiden parti sendiri.


Perkara itu bukan rahsia lagi malah bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa kerap mengeluarkan kenyataan yang lebih memihak kepada PN walaupun bercanggah dengan pendirian rasmi parti.

Lebih memburukkan keadaan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin secara terang-terangan mengkritik parti semasa berkempen di Sungai Buloh pada PRU-15.

Apakah mereka tidak sedar bahawa tindakan sedemikian hanya menyukarkan lagi usaha Ahmad Zahid dan barisan kepimpinan UMNO yang lain untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti?

Mungkin mereka sudah terlupa bahawa Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta beberapa pemimpin UMNO lain yang dimomokkan sebagai ‘kluster mahkamah’ mungkin menjadi mangsa pendakwaan terpilih yang dimulakan ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh.

Tidakkah kumpulan pengkhianat dalam UMNO ini sedar betapa hebatnya tekanan yang dihadapi Ahmad Zahid bagi meneruskan kelangsungan hidup parti yang ingin dimatikan oleh musuh-musuhnya?


Dalam situasi yang amat gawat itu, Ahmad Zahid dengan dibantu oleh Najib masih mampu menghadiahkan kemenangan besar buat UMNO dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Namun, setelah Najib dipenjarakan, UMNO dan BN terpaksa mengharungi PRU-15 tanpa kelibat Bossku yang amat digeruni pihak lawan ekoran popularitinya dalam kalangan rakyat.

Amat menyedihkan apabila timbul suara-suara sumbang yang mengecam Ahmad Zahid kerana BN hanya mampu meraih 30 kerusi Parlimen pada PRU-15 seolah-olah mereka lupa tentang sumbangan besar beliau dalam memastikan UMNO tidak terkubur selepas PRU-14.

Hakikatnya, 30 kerusi yang dimenangi BN itu adalah satu pencapaian yang berupaya meniup semangat baharu dalam usaha mengembalikan parti sebagai kerajaan yang dominan pada PRU-16 dan seterusnya.

Usaha murni itu hampir terencat ekoran tindakan semberono sekumpulan pengkhianat yang cuba membelakangkan Ahmad Zahid dan kepimpinan parti dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong PN untuk kembali sebagai kerajaan.


Mujurlah, Ahmad Zahid berjaya menangani situasi tersebut dan menyelamatkan UMNO yang kini bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, kejayaan itu bukan bermakna episod pengkhianatan dalam UMNO telah berakhir malah ia dijangka lebih membarah menjelang pemilihan parti yang dijadualkan tahun depan.

Maka, tepatlah seperti yang dikatakan oleh Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa UMNO dan BN tidak boleh salah langkah lagi.

Bagi memastikan UMNO dan BN tidak tersalah langkah lagi, kepimpinan parti perlu mengambil tindakan tegas dengan menyingkirkan semua pengkhianat yang selama ini menjadi duri dalam daging.

Jika tindakan drastik itu tidak diambil, puak pengkhianat akan terus bebas berkeliaran dan bermaharajalela memusnahkan parti dari dalam. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram