‘Bukan takbur’, Zahid yakin pertahan jawatan presiden jika dicabar



PUTRAJAYA: Ahmad Zahid Hamidi membayangkan keyakinannya mempertahankan jawatan presiden jika dicabar pada pemilihan Umno akan datang.

Beliau menyuarakan keyakinan itu berdasarkan senario pemilihan Umno pada 2018, yang mana berlaku pertandingan tiga penjuru bagi jawatan presiden ketika dicabar dua calon lain, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Zahid berkata pada pemilihan berkenaan, beliau mendapat undi tinggi walaupun undian kedua-dua pencabarnya digabungkan.

Pada pemilihan Umno 2018, Zahid memperoleh 99 undi sementara Khairy 61 dan Ku Li 30.

“Dulu pun saya dicabar, dua orang cabar saya. Undi dua-dua tu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi, bukan saya riak tetapi itu sudah terbukti pada 2018 malah kombinasi dua-dua itu sangat kurang berbanding undi yang saya perolehi.


“Ini bukan riak, bukan takbur,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian ketika ditanya adakah dirinya bersedia sekiranya dicabar pada pemilihan parti akan datang.

Sebelum ini timbul gesaan daripada dalam parti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata jawatan nombor satu dan dua parti tidak perlu dipertandingkan sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan Umno selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas PRU15.


Katanya, perebutan kedudukan itu mampu memecahbelahkan parti, dengan menjelaskan hanya empat kali pemilihan presiden berlaku sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun Umno.

Mengenai pemilihan dua jawatan tertinggi parti, Zahid berkata beliau menyerahkan kuasa mutlak berkenaan kepada 160,000 perwakilan seluruh negara pada perhimpunan agung Umno 11 hingga 14 Jan ini.

“Hampir 160,000 perwakilan mewakili cawangan untuk menentukan sama ada mengekalkan kepimpinan sedia ada atau kepimpinan yang berubah untuk kita pastikan bahawa Umno dan BN terus relevan dalam pentas politik…. maka kuasa mutlak adalah kuasa perwakilan,” katanya.

Ketika ditanya adakah Umno bercadang untuk menjemput Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan parti dalam kerajaan perpaduan ke persidangan tahun ini, Zahid berkata Umno tidak berhasrat untuk berbuat demikian.


“Untuk PAU akan datang kita belum berhasrat untuk menjemput parti dalam kerajaan perpaduan supaya hadir dalam majlis ucapan dasar dan perasmian,” katanya.

Sebaliknya, Zahid berkata parti bercadang untuk menjemput setiausaha agung parti gabungan dalam kerajaan perpaduan sebagai peringkat permulaan.

Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sementara itu, menjawab kerjasama antara BN dan PH menjelang pilihan raya negeri tahun depan, Zahid berkata perkara itu belum dibincangkan. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram