Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia akan memastikan Umno tetap menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika dia - atau sekutunya - dipilih menjadi presiden parti.
Khairy sebaliknya berkata dia tidak menyokong “kaedah pintu belakang” untuk perubahan dalam pentadbiran, sambil menambah dia bahkan mahu kerajaan Anwar kekal dan stabil.
“Terdapat kebimbangan sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan Umno, ia akan membawa ketidakstabilan politik yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan, satu lagi Langkah Sheraton, dan satu lagi kerajaan akan masuk dan seorang perdana menteri baru mengangkat sumpah.
“Loke, saya ingin menyatakan ini dengan jelas di hadapan semua orang di sini: jika saya atau sekutu saya memenangi jawatan presiden, memenangi kepimpinan parti saya, kami akan memberikan sokongan kami kepada kerajaan perpaduan, kepada Anwar Ibrahim, dan kepada anda,” katanya seperti dilapor FreeMalaysiaToday.
Bekas ahli parlimen Rembau itu bercakap pada forum anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura. Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Sementara itu Khairy menganggap pemilihan Umno akan datang adalah sangat penting dan mungkin boleh membawa kepada pembaharuan kepada parti terbabit.
Katanya, ia akan menentukan sama ada Umno akan kekal relevan atau "bersemadi."
Untuk rekod Khairy adalah antara nama yang disebut-sebut mungkin dicalonkan untuk jawatan presiden Umno dan ia desas-desus itu semakin kuat bertiup apabila dia dilihat tidak sependapat dengan pemimpin tertinggi parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.
Malah keputusan parti memindahkan dia dari kerusi parlimen Rembau di Negeri Sembilan - yang dianggap selamat - ke Sungai Buloh dilihat seperti mahu mematikan kerjaya politik bekas menteri kesihatan terbabit.
Berdasarkan keputusan PRU ke-15 lalu ternyata Khairy gagal dalam cubaannya di kawasan kubu kuat PH berkenaan walaupun berjaya merapatkan jurang majoriti dengan ketara.
Dia kalah kepada calon PH, R Ramanan.
Walaupun tidak memberikan garis masa yang jelas pada Nov tahun lalu Khairy menegaskan dia tidak akan meneruskan cita-citanya dalam parti sebaik saja PRU ke-15 berakhir.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel