Gopal Sri Ram meninggal dunia



PETALING JAYA: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram meninggal dunia pada usia 79 tahun, di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Pemergiannya disahkan sumber kepada FMT.

Sebelum ini, Sri Ram menjalani rawatan di hospital swasta itu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, hampir dua minggu.

Mendiang merupakan ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.


Mendiang juga berperanan sama dalam kes rasuah projek hibrid solar RM1.25 bilion melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Sri Ram yang kembali melakukan amalan guaman selepas bersara pada 2010, dilantik pada 2018 oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB dan kes rasuah Rosmah.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sabitan terbabit dikekalkan Mahkamah Rayuan, pada Disember 2021 dan juga dikekalkan Mahkamah Persekutuan, pada Ogos tahun lalu.


Sri Ram juga mengetuai pendakwaan ke atas Najib melibatkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya.

Beliau juga merupakan menerajui pendakwaan melibatkan kes pindaan laporan audit 1MDB, turut membabitkan Najib, selain bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Pada 1 Sept tahun lalu, Rosmah didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung projek penyediaan tenaga hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion, melibatkan 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan diperintah membayar denda RM970 juta. Rosmah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dan rayuannya masih berlangsung di Mahkamah Rayuan.


Sebagai peguam, Sri Ram pernah mewakili Anwar Ibrahim dalam rayuan terakhirnya susulan didakwa melibat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Mendiang mengambil alih kes itu pada saat akhir, pada 2015, selepas peguam Anwar, Sulaiman Abdullah, jatuh sakit.

Dilahirkan pada 16 Ogos 1943 di Kuala Lumpur, Sri Ram pernah bertugas sebagai guru sebelum meninggalkan negara untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di United Kingdom.

Beliau melakukan amalan guaman bermula 1970 hingga 1994 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan.


Sri Ram menulis 800 penghakiman sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, antara 1994 hingga 2010.

Beliau juga membuat penghakiman bersejarah dalam kes jenayah, berkaitan Perlembagaan, pentadbiran dan komersial.

Sri Ram kembali melakukan amalan guaman di firma swasta selepas bersara pada 2010, selain mendiang dikenali sebagai hakim ‘ex-tempore’, memegang prinsip keadilan ditangguh adalah keadilan dinafikan.

Mendiang meninggalkan balu, Chandra Sri Ram, dan dua anak yang masing-masing peguam dan doktor. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram