Kes 1MDB Najib tangguh susulan kematian Sri Ram



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB dihadapi Najib Razak selepas ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram meninggal dunia pada Ahad.

Ini berikutan permintaan pihak pendakwaan bagi membolehkan pasukan itu menghadiri upacara pengebumian Sri Ram yang akan diadakan pada Selasa.

“Kami mahu menghadiri upacara pengebumian dan pembakaran mayat esok (di Nirvana 2). Dia adalah ketua pasukan kami dan seperti bapa kepada kami,” Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika perbicaraan bermula pagi ini.


Sri Ram dilantik sebagai pendakwa raya ad hoc dalam perbicaraan 1MDB dihadapi Najib yang juga bekas perdana menteri serta perbicaraan kes laporan audit 1MDB dihadapi Arul Kanda Kandasamy.

Akram meminta kes itu disambung semula pada Khamis memandangkan Rabu adalah cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa pendakwa raya perlu “membincangkan dan mengagihkan semula skop tugasnya berikutan kematian mengejut Sri Ram”.

Peguam Shafee Abdullah menyampaikan takziah kepada pendakwa raya daripada barisan peguam Najib berhubung pemergian Sri Ram.


Beliau juga memberitahu mahkamah pihak pembelaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu, menjelang akhir minggu ini.

Yu dipanggil ke kandang saksi sejak 13 Okt 2022.

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram