Jurulatih tampar pelajar perempuan disiasat



Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat insiden jurulatih menampar pelajar perempuan dalam insiden di satu kejohanan bola tampar di Johor.

Pada masa sama, KPM berkata pihaknya akan turut mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar yang terlibat.

"KPM memandang serius isu yang dilaporkan oleh pihak media dan satu sesi pertemuan dengan ibu bapa murid terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut.

"KPM juga akan meneruskan siasatan bagi tujuan tatatertib dan sekiranya didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.


"KPM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, jika ada laporan polis dibuat mengenai insiden berkenaan," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.

Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.


“Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) malam tadi memaklumkan pihaknya juga telah mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

Pihaknya juga turut menggantung pembabitan jurulatih berkenaan dalam sebarang aktiviti bola tampat sehingga siasatan selesai. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram