KECOH: Pekerja 7-Eleven dikecam cuci microwave guna mop



PETALING JAYA – Kecoh di media sosial apabila seorang pekerja menggunakan cara ‘kotor’ untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan di sebuah kedai serbaneka terkemuka.

Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di akaun Twitter @AshrafChak, dilihat pekerja berkenaan bertindak memasukkan mop lantai ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk membersihkannya.

Ketuhar gelombang mikro tersebut kebiasannya digunakan oleh pelanggan bagi memanaskan makanan yang dibeli dari kedai serbaneka tersebut.


“Hello kedai serbaneka, tolong jelaskan pada pekerja anda untuk buat pembersihan dengan cara yang betul. Mop lantai pun masuk dalam ‘microwave’, pengotor!,” ciap @AshrafChak.

Bagaimanapun, lokasi cawangan kedai serbaneka terbabit tidak dapat dipastikan.

Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat 6,656 perkongsian dan 5,676 tanda suka.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan pekerja itu kerana boleh mengundang penyakit lain kepada pelanggan yang menggunakan peralatan tersebut.


“Sebagai bekas pekerja kedai serbaneka ini, kami tidak diajar untuk melakukan perbuatan ini. Ini semuanya adalah ‘common sense’. Boleh buat aduan e-mel kepada kedai serbaneka tersebut untuk tindakan selanjutnya. HQ akan periksa sistem televisyen litar tertutup (CCTV),” ciap Nizamuddin.

“Orang yang lakukan ini, takkan tiada pengetahuan asas bagaimana untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan? Harap tindakan dikenakan dengan segera,” ciap pengguna lain pula. – Kosmo









Join our Telegram Channel
Telegram