Umno yang tinggalkan prinsip, MCA tak pernah kianat BN – Wee



PETALING JAYA: Kesetiaan MCA kepada Barisan Nasional (BN) tidak harus dipertikaikan walaupun dua Ahli Parlimen mereka menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15, kata presiden Wee Ka Siong.

Dalam temu bual dengan Sin Chew Daily, Ka Siong berkata ketika MCA mengkritik Umno dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum kerajaan perpaduan ditubuhkan, beliau menafikan parti itu mengkhianati BN.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno meninggalkan prinsip utama BN iaitu berunding dan konsensus apabila memutuskan sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15 berakhir yang menyaksikan Parlimen tergantung.

“Mereka sibuk membuat hubungan dan menjalin pakatan politik baharu. Kami (MCA) melihat perkembangan politik, tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya,” katanya.


“Umno menemui rakan baharu (dalam PH yang sudah lama bertelagah), dan kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan. Kami tidak pernah mengkhianati gabungan itu.”

Ka Siong berkata, Umno harus berpegang teguh kepada semangat BN mengadakan perundingan dalam kalangan parti komponen, menyifatkan ini sebagai “semangat asal” BN.

“Tiada satu parti yang mempunyai semua hak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi daripada parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata,” katanya.

Zahid mendedahkan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bahawa Ahli Parlimen Ayer Hitam Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng adalah antara 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Pengerusi PN Muhyiddin selepas PRU15.

Beliau berkata, pendedahan identiti 10 Ahli Parlimen itu bukan tindakan balas dendam, tetapi mahu menjelaskan peristiwa yang menyebabkan Umno dan BN menyertai kerajaan perpaduan.


Katanya, beliau difahamkan 10 yang menandatangani SD, kemudian menarik balik kerana keadaan tidak menentu berikutan keputusan pilihan raya belum dimuktamadkan.

PH memenangi 82 kerusi pada PRU15, diikuti PN dengan 74, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga).

Atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, BN berkenan membentuk kerajaan sekarang dengan PH dan gabungan Malaysia Timur, satu langkah pada mulanya mendapat tentangan oleh bahagian tertentu dalam BN. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram