Annuar dialu-alukan bersama PAS



PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dialu-alukan untuk bersama PAS tidak lama selepas beliau menyuarakan keinginan untuk menyertai parti politik.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bekas setiausaha agung Umno itu memiliki pengalaman yang mesti dimanfaatkan namun pandangan beliau tidak kuat jika tidak bersama parti politik.

“Peranan beliau untuk melihat parti Melayu bersama seharusnya diteruskan bersama PAS,” katanya ketika dihubungi FMT.


Malah Tuan Ibrahim menambah Annuar bukanlah asing bagi PAS. “Kami banyak bersama dalam perbincangan semasa dalam Muafakat Nasional lalu.”

Semalam, Annuar yang dipecat Umno pada Disember lalu menyuarakan hasrat untuk kembali berpolitik secara berparti, dan ingin menyertai parti yang sesuai dengan perjuangannya.

Annuar menyifatkan perjuangannya untuk menegakkan syiar agama dan membela bangsa serta negara.


Beliau ketika ini bersama NGO, Muafakat Nasional, yang diaktifkan selepas Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Sebagai ahli politik, beliau seharusnya bersama dengan parti dalam memperjuangkan sesuatu perkara. Tanpa bersama parti politik, tentunya pandangan beliau tidak kuat berbanding parti,” kata Tuan Ibrahim.

Annuar sebelum dipecat dilihat lantang mengkritik Presiden Umno Zahid Hamidi malah dilabel “mesra Bersatu”. Pemecatan beliau mengikut fasal yang memberi hak kepada majlis kerja tertinggi Umno melucutkan keahlian. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram