Tiada tawaran atau keahlian luar biasa, Annuar boleh mohon macam biasa jika minat, kata Bersatu



Bersatu Kelantan mengambil sikap terbuka sekiranya bekas ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa mahu menyertai parti itu.

Pengerusinya Kamaruddin Md Nor berkata, Annuar boleh mengemukakan permohonan seperti amalan biasa sekiranya berminat menjadi ahli parti Bersatu.

“Secara umumnya dia atau sesiapa sahaja boleh mohon jika berminat menyertai Bersatu. Ia proses biasa.


“Secara asasnya tidak ada tawaran tetapi kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat. Kita tidak ada (pengembilan) keahlian luar biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu Kelantan berhasrat untuk menawarkan keahlian parti kepada Annuar.

Ia selepas bekas menteri Umno itu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti politik selepas lebih tiga bulan dipecat Umno.

Semalam Annuar dilaporkan berkata dia telah meluangkan masa sejak dipecat untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.


"Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

"Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka," katanya dalam catatan Facebook.

Sementara itu Kamaruddin berkata mana-mana parti yang disertai Annuar pastinya boleh menimba pengalaman daripada pemimpin itu.

“Dia seorang berpengalaman dengan macam-macam perkara, sudah tentu parti yang disertainya boleh timba pengalaman daripada Annuar,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram