KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Ia adalah kehadiran pertama Anwar di bangunan itu selepas 25 tahun meninggalkan Umno.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) tiba kira-kira jam 7.45 malam
Beliau dilihat berjalan dari Hotel Seri Pacific ke Menara Dato’ Onn diiringi pengawal dan Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia (WTC) Irmohizam Ibrahim.
Mesyuarat malam ini juga akan dihadiri pemimpin utama Umno dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, selain pemimpin utama PH, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan.
Antara pemimpin utama PH yang dilihat hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook.
Terdahulu Zahid yang juga Pengerusi BN memaklumkan mesyuarat malam ini antara lain akan membincangkan agenda merakyat, berdasarkan kepada terjemahan manifesto semua gabungan parti kerajaan.
Katanya, mesyuarat itu juga akan memberikan tumpuan bagaimana mencari titik persamaan untuk kerajaan melaksanakan manifesto tersebut.
Pada perhimpunan agung Umno lalu, Zahid mengumumkan penubuhan sekretariat itu yang ditubuhkan bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan dan diketuai ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan kerajaan perpaduan, dan dari semasa ke semasa akan membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk berhubung kerjasama politik.
Join our Telegram Channel