Dr Akmal Saleh sah tanding Ketua Pemuda UMNO



KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan partinya bulan depan.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka mengemukakan borang pencalonannya di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn petang hari ini.

"Alhamdulilah selesai hantar borang untuk menawarkan khidmat saya sebagai ketua pemuda UMNO Malaysia petang ini.

"Mohon doa dan bantu saya. Pemuda cara kita," katanya menerusi Facebook petang hari ini.


Muhamad Akmal yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka adalah pemimpin Pemuda UMNO pertama yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan itu, yang masih dibuka sehingga 26 Februari ini.

Sementara itu, BH juga difahamkan Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO menarik diri, beberapa hari sebelum pencalonan ditutup pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang turut menyatakan hasrat bertanding jawatan terbabit difahamkan masih belum mengemukakan borang pencalonannya.

Malah, beliau sendiri mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin UMNO Khamis ini berhubung pelanggaran etika pemilihan parti itu.


Setakat ini, dua calon dikhabarkan sudah menyatakan hasrat bertanding secara terbuka bagi merebut jawatan itu, dengan beberapa nama lain dijangka mengemuka pencalonannya.

Antara nama disebut akan turut bersaing dalam jawatan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam, yang sebelum ini diterima kembali sebagai ahli UMNO.

Penentuan siapa akan menerajui sayap UMNO itu akan diketahui 11 Mac depan ketika persidangan sayap parti itu yang akan berlangsung serentak di seluruh negara. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram