UMNO: Akmal umum tanding Ketua Bahagian Jasin, Fathul Bari tanding Ketua Bahagian Kangar



Akmal sah cabar Hasan di Jasin


JASIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengesahkan bakal mencabar Datuk Hasan Rahman bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pemilihan parti kali ini.

Muhamad Akmal yang kini menyandang posisi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin berkata, meskipun baru berusia 35 tahun, beliau yakin bahawa parti perlu mencipta kelainan daripada kebiasaan dengan menonjolkan barisan kepemimpinan kalangan orang muda.

Beliau berkata, hasrat itu telah disuarakan kepada Hasan yang turut menyatakan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Ditanya sama ada pertembungan berkenaan bakal menjadi pentas satu lawan satu, Muhamad Akmal menjelaskan, beberapa pemimpin lain di bahagian itu juga ada menyatakan minat untuk bertanding, namun enggan mendedahkan nama individu terlibat.


“Saya mengesahkan bahawa saya akan bertanding untuk menawarkan diri saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin. Memang agak pelik berumur 35 tahun untuk menawarkan diri sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin tetapi kali ini sudah tiba masanya, UMNO perlu lari sikit daripada budaya biasa.

“Untuk memberikan satu harapan kepada rakyat bahawa UMNO kini lebih berubah kepada yang lebih baik. Saya sudah berjumpa dengan beliau (Hasan), beliau pun rasa hendak menawarkan diri juga.

“UMNO ini adalah sebuah parti yang demokrasi, bila kita bertanding kita bertanding dalam sifat kekeluargaan. Kita tidak ada serang peribadi, bagi saya pertandingan ini terbuka kepada semua. Sesiapa ahli UMNO boleh menawarkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Merlimau di sini, malam tadi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Muhamad Akmal menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bagi mengisi portfolio yang tidak dipertahankan penyandangnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – Utusan


Fathul Bari sedia cabar Azlan rebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar


KANGAR : Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar sekali gus sedia mencabar penyandang, Datuk Seri Azlan Man dalam pemilihan parti itu bermula bulan ini.

Azlan dijangka mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar meskipun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu berkata, hasrat menawarkan diri itu juga sebagai menghormati demokrasi di dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan.

Selain itu katanya, jika diberi peluang mengetuai UMNO Bahagian itu, beliau juga mempunyai perancangan khusus dalam usaha mengembalikan semula kebangkitan parti itu dalam keadaan tewas 18-0 dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disifatkan paling buruk dalam sejarah parti itu di negeri ini.


“Kita mahu memastikan UMNO kembali bangkit dalam keadaan terhormat dan lebih kuat dalam mendepani PRU16 yang dilihat lebih mencabar.

“Tanpa hilang sedikit pun rasa hormat terhadap pemimpin sedia ada selain sebagai respon menghormati demokrasi di dalam parti yang membuka ruang untuk pertandingan, saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar,” katanya.

UMNO akan mengadakan pemilihan parti bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac depan di semua peringkat bagi mematuhi pindaan Perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pemilihan itu akan membabitkan sebanyak 22,000 cawangan serta 191 bahagian UMNO di seluruh negara termasuk bahagian yang digantung.

Sebagai rekod, Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan bekas Menteri Besar mengetuai UMNO Bahagian Kangar sejak tahun 2014.


Dalam PRU15, UMNO dan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali hilang penguasaan kerajaan negeri selain gagal memenangi walau satu kerusi pun dalam pilihan raya berkenaan. BN kalah semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, apa yang dilakukan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar sepanjang lima tahun kebelakangan ini menunjukkan betapa seriusnya beliau di bahagian berkenaan.

“Saya melakukan sehabis baik dan Insya-Allah kalau diberi peluang mengetuai UMNO Bahagian, saya akan pastikan kebajikan ahli UMNO terjaga selain mengatur gerak kerja parti agar lebih teratur dan lancar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada bersedia bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan nanti, Fathul Bari berkata, beliau masih membuat pertimbangan mengenai perkara itu.

“Saya akan mengambil sedikit masa lagi sebelum membuat keputusan meskipun mendapat galakan dan sokongan pelbagai pihak bertanding jawatan berkenaan,” katanya. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram