‘Episod’ Dr M letak jawatan punca kemelut politik berlarutan – Agong



KUALA LUMPUR – Pilihan raya umum dapat dielakkan sekiranya ‘episod’ yang membawa peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh tidak berlaku.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melontarkan pendapat itu dalam titah pembukaan Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas hari ini.

“Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa peletakan jawatan perdana menteri ketujuh tidak berlaku nescaya rantaian politik yang berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.

“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampr empat tahun lamanya boleh dielakkan sekirannya ahli-ahli yang berhormat dan para politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan.


“Dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda dibawa ke kancah kemelut politik apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan.

Baginda turut tidak menjangka Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin juga akan meletakkan jawatan Perdana Menteri kelapan.

Menurut Al-Sultan Abdullah, akan terpahat dalam sejarah baginda satu-satunya Yang di-Pertuan Agong diberi keafiatan untuk memerintah dengan empat perdana menteri dan empat jemaah menteri berlainan.


“Beta bermula dengan Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri ke-7. Namun pada 24 Februari 20202 buat pertama kalinya beta dibawa ke kancah gelanggang kemelut politik tanah air menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh.

“Selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan kepada beta oleh Perlembahaan Persekutuan Beta selanjutnya telah mendapati Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yasin telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Pedana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020.

“Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perdana Menteri yang kelapan juga telag meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah memikul tanggungjawab berat apabila Parlimen tergantung selepas PRU15 selesai apabila tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah.


Al-Sultan Abdullah telah membuka ruang yang luas kepada ahli Parlimen untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan demi masa depan negara.

“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan pada 24 November 2022, beta telah berkenan untuk melantik Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan penggal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari tahun depan. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram