Muhyiddin: Tuduhan beri kontrak pada menantu fitnah jahat



Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menafikan sebarang penglibatan dalam pemberian kontrak yang didakwa ada kaitan dengan menantunya Adlan Berhan.

Ini selepas SPRM dilaporkan sedang menyiasat penganugerahan kontrak itu atas alasan kemungkinan salah guna kuasa dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe)

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

“Saya sebagai perdana menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.


Muhyiddin: Tohmahan k’jaan PH


“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan.

"Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu,” kata pengerusi PN itu pada satu kenyataan malam ini.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata tiada ahli keluarganya mempunyai hubungan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.


“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim,” dakwa ahli parlimen Pagoh itu.

Memetik sumber, semalam FMT melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat anugerah kontrak NIISe berdasarkan bukti baru berkaitan kes yang timbul.

“SPRM sedang melihat bagaimana kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat dengan mereka yang berkuasa ketika itu.

“SPRM mungkin akan memanggil anggota kanan pentadbiran terdahulu sebagai sebahagian daripada siasatannya,” kata sumber itu.


'Sistem lebih baik'


Pada 2020, pentadbiran Muhyiddin mengumumkan NIISe sebagai "sistem yang lebih baik" bagi menangani kelemahan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikatakan tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing.

NIISe kemudiannya dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada April 2021, diketuai oleh menterinya ketika itu Hamzah Zainudin.

Dia berkata sistem imigresen sedia ada, MyIMMs, perlu diganti dengan sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik yang dilengkapi teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan, Internet Semua Perkara (IOT) dan Analisis Data Raya.

Hamzah berkata IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan NIISe bersama KDN dan badan bebas lain menjelang 2024.


Terdahulu, The Vibes melaporkan bahawa Adlan ialah pemain utama dalam konsesi NIISe bernilai RM1.2 bilion melalui pautan dalam salah satu pendahulu projek itu, penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc.

Bagaimanapun, pengarah urusan kumpulan S5 Syed Mohammad Hafiz Jamalullail menafikan pada 2021 bahawa tiada rakannya dalam politik, termasuk Adlan, yang terlibat dalam syarikat itu.

Pada Isnin, Anwar mengkritik pihak yang menentang pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi perdana menteri tanpa gaji, terutama pihak tertentu yang memberikan kontrak kepada anak lelaki atau menantu mereka ketika berkuasa.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi (gambar, atas) kemudian membayangkan kemungkinan menantu Muhyiddin yang dimaksudkan oleh Anwar.


Muhyiddin bagaimanapun mendakwa malam ini tuduhan penglibatan dia dan menantunya dalam NIISe dibuat sebagai cubaan untuk menutup "kelemahan" perdana menteri melantik anaknya.

"Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” katanya.

SPRM juga sedang menyiasat Bersatu, yang diketuai Muhyiddin, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram