SPRM siasat kontrak lumayan menantu bekas Perdana Menteri



KUALA LUMPUR: Sumber mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pemberian satu kontrak lumayan untuk menantu seorang bekas perdana menteri.

Sumber itu yang enggan dinamakan berkata, siasatan agensi anti-rasuah itu memfokuskan kemungkinan berlaku salah guna kuasa berkaitan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIIS). 

“SPRM sedang menyiasat bagaimana kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat itu dengan mereka yang berkuasa ketika itu,” katanya.

Menurutnya, bukti baharu berhubung kes itu muncul, termasuk projek terbabit kini diklasifikasikan “projek sakit” kerana hanya mencapai sedikit kemajuan.


“SPRM mungkin memanggil anggota kanan kerajaan terdahulu sebagai sebahagian siasatannya.”

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi cuba mencadangkan menantu Muhyiddin Yassin mungkin saudara yang tidak dinamakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika bercakap mengenai kroni dan saudara-mara yang diberikan kontrak lumayan.

Anwar dilaporkan berkata, beliau terbuka mendengar kritikan pelbagai pihak terhadap pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat.

Tetapi, katanya, mereka yang “memberikan kontrak berbilion atau ratusan juta ringgit kepada anak atau menantu atau kroni ketika mereka berkuasa” tidak wajar menyuarakan bantahan.

Menantu Muhyiddin, Adlan Berhan dinamakan dalam laporan media pada 2020. Beliau dikaitkan dan mungkin merupakan pemain utama dalam kontrak untuk NIIS.


Menurut laporan The Vibes, Adlan didakwa mempunyai kaitan dengan seorang daripada pendahulu projek itu, penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc.

Tetapi, Pengarah Urusan Kumpulan S5, Syed Mohammad Hafiz Jamalullail dipetik The Edge pada 2021 berkata, dalam kalangan hubungan politiknya, termasuk Adlan, tiada orang yang terbabit dalam S5.

Sistem itu dilapor dicadangkan Muhyiddin ketika menjadi menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020, selepas Sistem Kawalan Imigresen Nasional dibatalkan Muhyiddin akibat kos tinggi.

Kos NIIS dianggarkan sekitar RM1.2 bilion, kira-kira 66% kurang daripada kos projek terdahulu yang bernilai RM3.5 bilion. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram