Pasar Borong Selayang kembali dijajah Rohingya



GOMBAK: Etnik Rohingya dikesan menjadikan sekitar Pasar Borong Selayang, di sini sebagai tempat berniaga termasuklah kawasan parkir dan simpang.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, kebanjiran warga Rohingya di pasar borong Selayang bukan satu isu baharu malahan ia difahamkan berlaku sejak bertahun yang lalu.

"Apa yang kita kesalkan mereka ini seolah menjadikan kawasan pasar borong ini sebagai lokasi asal, bebas berniaga di mana-mana sahaja di sini termasuk di kawasan parkir kereta dan simpang.

"Bukan itu sahaja, mereka ini juga banyak yang diambil sebagai pekerja atas alasan mereka tidak kisah menerima upah yang rendah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Mohd Sophian berkata, keadaan ini merupakan satu perkara yang membimbangkan sekiranya tiada tindakan secara drastik dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, mengatasi permasalahan ini bukan hanya sekadar datang merampas barang meniaga semata-mata, namun tindakan tegas bermula dari akar umbi harus diambil.

"Harus diingat bahawa etnik Rohingya ini, mereka datang ke Malaysia bukan sebagai pekerja, bukan peniaga, tapi mereka ini adalah pelarian," ujarnya.

Menurutnya, apa yang dikesalkan, kebanjiran warga Rohingya ini secara langsung menjejaskan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat tempatan.

"Apa yang dikesali, ramai peniaga tempatan yang mengambil warga Rohingya ini sebagai pekerja, dengan alasan mereka hanya meminta upah yang rendah, sekali gus keadaan ini menutup peluang pekerjaan kepada warga tempatan," katanya.


Ujar Mohd Sophian, pihaknya sedia memberikan kerjasama dalam membanteras kebanjiran warga Rohingya di kawasan ini.

"Kami sedia turun padang seandainya dibenarkan, kami boleh bantu tunjuk mana gerai yang mana dikendalikan warga Rohingya sendiri dan yang menggajikan warga Rohingya," katanya.

Pada Isnin, tular video memaparkan Mohd Sophian hadir meninjau keadaan di Pasar Borong Selayang.

Menerusi video tersebut, Mohd Sophian turut mendakwa Pasar Borong Selayang kini didominasi oleh warga Rohingya yang sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan tanpa adanya tindakan tegas daripada pihak berkuasa. – Sinar







Join our Telegram Channel
Telegram