Tak mungkin Nurul Izzah salah guna kuasa, kata Anwar



PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menegaskan anaknya, Nurul Izzah, tidak mungkin menyalahgunakan kedudukannya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan perdana menteri.

“Tidak ada kemungkinan (Nurul Izzah) menggunakan kedudukan itu untuk mengumpul kekayaan dan mempengaruhi keputusan mengenai tender, kontrak atau projek,” katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat di Ibu Pejabat PKR.

Presiden PKR itu mengulas kontroversi pelantikan Nurul Izzah sambil menegaskan anak sulungnya itu tidak menerima sebarang elaun.

Katanya, beliau memerlukan kepakaran Nurul Izzah dan kedudukannya dalam jawatan itu untuk mengkritik serta meneruskan agenda tadbir urus baik.


Akhir bulan lalu, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 3 Jan lalu.

Anwar kemudiannya mempertahankan pelantikan itu dengan berkata, Nurul Izzah tidak dibayar gaji dan beliau layak untuk jawatan berkenaan kerana ijazahnya dalam bidang kejuruteraan, dasar awam dan sosial.

Bagaimanapun, beberapa pengkritik mempersoalkan pelantikan itu sebagai nepotisme yang pasti akan meletakkan kerajaan perpaduan dalam keadaan bertahan kerana memberi peluang kepada pembangkang untuk menyerang mereka.

Sementara itu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat beberapa bekas pemimpin Umno berminat menyertai PKR selepas pembersihan parti itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, PKR akan berbincang dengan Umno terlebih dahulu dalam masa terdekat.


“Belum ada keputusan dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menolak dakwaan PH hanya mendapat 19% sokongan pengundi Melayu pada PRU15.

Katanya, analisis PH sendiri menunjukkan mereka memperoleh 31% sokongan pengundi Melayu.

“Kami memperoleh 31% undi Melayu secara keseluruhan. Ada yang rendah seperti di Kelantan dan Terengganu,” katanya sambil menambah di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menyaksikan PH mendapat lebih 50% sokongan pengundi Melayu. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram