Tak salah PM lantik anak jadi penasihat – Mufti



Georgetown: Tidak menjadi kesalahan jika seorang pemimpin atau ketua kerajaan melantik anggota keluarganya sebagai pembantu atau penasihat asalkan individu itu mempunyai intergriti diri, kelayakan dan kepakaran yang dikehendaki.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, malah tindakan itu boleh memudahkan lagi urusan yang mahu dilaksanakan.

Katanya, dalam hal berkaitan dengan tadbir urus sebuah negara, matlamat ingin dicapai ialah perkhidmatan yang efisyen, telus dan amanah supaya nasib rakyat terbela dengan kehidupan terjamin daripada aspek kebebasan, keadilan dan kebajikan.


"Bagi mencapai matlamat ini individu yang dipertanggungjawab bagi mengendali urusan kerajaan, terutama dalam hal membabitkan kewangan, mestilah memiliki integriti diri supaya tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan dana awam yang merugikan negara.

"Sebagai agamawan, saya cenderung melihat isu ini daripada perspektif Islam iaitu dalam menilai sesuatu tindakan atau amalan yang mana sebahagian kita terkeliru antara matlamat serta cara untuk mencapai matlamat.

"Banyak masa dihabiskan bagi berpolemik tentang cara mencapai sesuatu matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri dipinggirkan malah mungkin diabaikan sama sekali," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri serta mendapat reaksi berbeza.


Katanya, tindakan Anwar yang melantik Nurul Izzah bagi jawatan itu tanpa mengambil sebarang gaji atau elaun, adalah tindakan yang sungguh mulia dan terpuji.

Jika dilihat daripada perspektif Islam, tindakan sedemikian adalah menurut jejak langkah orang soleh yang mendapat hidayah Allah SWT sepertimana terakam di beberapa bahagian al-Quran.

"Saya tidak mahu berlebihan memuji Nurul Izzah atau menyamakannya dengan Mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terkenal dengan sifat zuhud dan waraknya.

"Tetapi setakat yang saya tahu, Nurul Izzah bukanlah seorang yang 'gila' harta dan suka kepada kemewahan dan mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan dengan jawatan yang dipegang," katanya lagi.


Menurut Wan Salim, sepatutnya sebagai warganegara Malaysia, kita berbangga dengan individu yang sanggup berkhidmat kepada negara dan rakyat secara sukarela tanpa menuntut ganjaran.

"Kadang-kala saya berasa pelik mendapati sebahagian masyarakat memprotes orang yang berkhidmat kepada negara secara percuma, sebaliknya boleh menerima seorang lain yang memperoleh 'habuan' tanpa menyumbang sebarang perkhidmatan.

"Sikap itu menunjukkan kepada kehilangan pertimbangan akal yang waras dan keadaan ini boleh disamakan dengan kisah umat Nabi Luth a.s yang mengusir golongan beriman daripada kampung halaman mereka dengan alasan golongan itu adalah orang yang menyuci diri daripada kejahatan," katanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram