Tugas Izzah pastikan tender diurus secara teratur – Anwar



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terbuka menerima teguran serta kritikan terhadap tindakannya melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat khas ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri menjelaskan tugas Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah untuk memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender kerajaan supaya teratur.

"Saya terima baik teguran. Saya jelaskan, itu berbeda dengan pengalaman yang lalu, soal upah dan ganjaran. Dia datang untuk bantu, tiada kedudukan yang dipersoalkan iaitu satu ketelusan (dalam urusan pentadbiran), akan pastikan supaya kontrak tender teratur. Itu saja.

"Bukan untuk ambil projek. Orang kritik, kalau ikhlas saya tiada masalah. Saya mahu supaya tiada amalan tidak sihat. Mereka yang kritik itu termasuk yang bagi kontrak juta-juta kepada anak dia.


Yang tiada kerja pun ambil (tender), (lantik) penasihat macam-macam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Justeru, beliau memberi jaminan pentadbirannya akan tegas dalam usaha menentang rasuah dan salah guna kuasa.


"Tidak memperkayakan mana-mana pegawai. Tidak wajar juga bagi orang yang memberikan ratusan juta kepada anak menantu semasa menjadi perdana menteri atau menteri dan sekarang cuba cakap soal ketelusan," katanya.

Mengulas kritikan mengenai amalan nepotisme, Anwar menjelaskan itu berlaku jika seseorang itu diberi jawatan untuk tujuan menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mahu mendapat upah yang tinggi.

"Jawatan yang berkait dengan JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan MOF (Kementerian Kewangan) dan tiada ganjaran. Setakat ini tak pasti ada pejabat atau tak, (tapi) dia kena cari, tiada pejabat pun tak boleh jugak," katanya.

Menyentuh kedudukan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang terus merosot untuk tempoh tiga tahun hingga 2022, Anwar yakin rekod itu akan dipulihkan menjelang tahun depan.


"Sebab itu kita ambil tindakan tegas. Mesej kita jelas, saya percaya menjelang tahun depan ada hasil besar, ya... ada masalah besar dalam negara kita, atas sampai ke bawah dan kita mesti tegas dan tidak bertolak ansur.

"Pastinya kalau ada tindakan ikhlas (untuk lawan salah guna kuasa dan rasuah). Kerajaan ini baru, kita beri fokus. Saya beri dukungan penuh kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Malaysia semalam dilaporkan berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 yang dikeluarkan TI daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021, dengan skor Malaysia juga jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.

Ditanya mengenai permohonan menambah peruntukan untuk Kementerian Belia dan Sukan dalam Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau sedia mempertimbangkan dan akan berbincang lanjut dengan kementeriannya. – Bharian




Join our Telegram Channel
Telegram