Abu Hafiz keluar Pejuang, tak setuju gabung dengan PAS manipulasi Agama



Selepas meninggalkan jawatannya sebagai ketua Pemuda Pejuang (Pejuang Muda), Abu Hafiz Salleh Hudin hari ini mengumumkan keputusannya untuk keluar terus dari parti tersebut.

Keputusan itu menyusul selepas tularnya sepucuk surat dalaman Pejuang mengenai keputusan mereka mahu menyertai PN.

Kata Abu Hafiz, selepas meletakkan jawatan sebagai ketua Pejuang Muda pada 11 Dis tahun lalu dia menghormati setiap keputusan yang diambil pemimpin parti terbabit.

"Bagaimanapun keputusan mengutus surat secara rasmi bagi Pejuang menjadi anggota komponen PN adalah berbeza dengan pendirian peribadi dan akademik saya yang melawan ekstremisme, menyalahgunakan sentimen Melayu-Islam dan juga mereka yang memusuhi segala unsur Melayu-Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Abu Hafiz dia mengambil inisiatif untuk mengulas dan melawan ucapan, tulisan serta sebarang naratif manipulasi agama dan bangsa oleh PN - khususnya PAS - secara terbuka dan melampau.

"Oleh yang demikian saya sudah memaklumkan kepada Pejabat Setiausaha Agung Pejuang akan pemberhentian keahlian saya 000009 pada hari ini bagi lebih memfokuskan tugas akademik dan hal-hal lain," katanya.

Sebelum ini Abu Hafiz - yang kini berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa - melepaskan jawatannya sebagai ketua Pejuang Muda "atas pelbagai pertimbangan".

Antaranya, dia membuat tindakan tersebut sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan Pejuang dalam PRU ke-15 lalu.


Pagi tadi Pejuang mengumumkan mereka sudah memohon secara rasmi untuk menyertai PN "setelah penelitian dan penilaian khusus semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada."

Menurut Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir langkah itu juga diambil hasil pelbagai perkembangan termasuk pertimbangan bahawa tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelak pertindihan kerusi yang ditandingi.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN, dan bertanding menggunakan lambang PN.

"Tentunya ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN itu tidak terhad hanya kepada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tak lama lagi tetapi juga untuk jangka masa panjang,” katanya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram