Anak pemimpin politik dalam radar SPRM selepas penahanan Datuk Roy, kata sumber



PETALING JAYA: Anak seorang pemimpin politik dikatakan dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika agensi antirasuah itu memperluaskan siasatannya ke atas program Jana Wibawa.

Sumber berkata, penahanan “Datuk Roy” – dipercayai dalang kes rasuah dikaitkan dengan program itu – mendedahkan anak ahli politik itu, yang juga ahli perniagaan, turut disiasat.

Katanya, nama ahli perniagaan itu “dibocorkan” selepas “Datuk Roy” mendapat senarai nama dikaitkan dengan program itu daripada seorang kenalan SPRM, yang dikatakan pegawai kanan.


“Datuk Roy ini kemudian menghubungi individu dalam senarai itu, menawarkan bantuan bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka, sebagai balasan untuk bayaran lumayan,” sumber itu memberitahu FMT.

Dia dipercayai menerima sejumlah wang daripada seseorang yang rapat dengan pemimpin politik itu untuk mengelakkan ahli perniagaan terbabit ditahan.

Sumber itu menyifatkan “Datuk Roy” atau nama sebenarnya Hussein Nasir, sebagai oportunis yang menyasarkan suspek SPRM.

“Dia nampak peluang untuk dapat wang daripada mereka yang disiasat dalam kes berprofil tinggi.”


Khamis lalu, SPRM menahan empat individu, termasuk seorang pegawai SPRM susulan laporan dibuat ahli keluarga pemimpin politik itu.

Program Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pada November 2020 sebagai inisiatif rangsangan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Muhyiddin didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung program itu.

Bulan lalu, dua ahli Bersatu turut didakwa menerima rasuah berkaitan Jana Wibawa, iaitu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram