Angin kencing tiup Melaka bakal dapat Ketua Menteri baharu, tapi Ab Rauf say no comment



PETALING JAYA: Senario politik Melaka kembali “panas” apabila timbul lagi dakwaan kerajaan negeri bakal mendapat ketua menteri baharu Jumaat ini.

Dakwaan itu turut mengatakan upacara mengangkat sumpah ketua menteri ke-14 akan diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Rustam di pejabatnya di Ayer Keroh, Jumaat ini.

Malah, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali yang memegang jawatan itu selama dua penggal, dilaporkan bakal digantikan dengan Adun Tanjung Bidara yang juga exco kanan, Ab Rauf Yusoh, lapor Sinar Harian.


Media bagaimanapun gagal mendapat pengesahan dan komen daripada Sulaiman biarpun tiga jam menunggunya di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri.

Setiausaha Akhbar Sulaiman, Nasharudin Muhamad memberitahu Adun Lendu itu enggan bertemu media dan meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber terdekat pejabat ketua menteri memaklumkan setakat ini tiada arahan selanjutnya dan mereka masih menunggu arahan daripada setiausaha kerajaan negeri.

Sementara itu, Rauf yang juga ketua Umno Melaka ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perubahan struktur pentadbiran Melaka.


“Saya tak mahu komen lanjut sehingga ada maklumat seterusnya,” katanya.

Terdahulu tular di WhatsApp ucapan terima kasih untuk semua jasa yang diberikan untuk rakyat Melaka kepada Sulaiman.

Media pada Isnin melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka.

Presiden Umno itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu. − FMT




Join our Telegram Channel
Telegram