Zahid sahkan Rauf calon ketua menteri Melaka



KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka yang baharu.

Katanya, cadangan itu dibuat kepada Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam.

“Saya telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk menerima peletakan jawatan ketua menteri Melaka.

“Dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri baharu, noktah, ia telah dipersembahkan,” katanya kepada media.


Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pembangunan usahawan dan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) kebangsaan di Parlimen.

Ditanya alasan peletakan jawatan Adun Lendu Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri, Zahid memaklumkan keputusan itu dibuat atas faktor kesihatan.

“Dia (Sulaiman) beritahu sebab kesihatan,” katanya.

Ditanya sama ada barisan exco baharu akan membabitkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Zahid berkata, pelantikan itu akan mengambil semangat pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

“Saya membincangkan barisan exco oleh kerana kita mengambil semangat kerajaan perpaduan yang berjalan baik di nasional, saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya.


Rauf yang juga ketua Umno Melaka sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri sejak Barisan Nasional menang PRN Melaka, pada November 2021.

Sebelum PRN Melaka, Sulaiman adalah ketua menteri, manakala Rauf sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.

Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.

Rauf selepas itu menafikan cakap-cakap berlaku pergeseran dalam kerajaan negeri baharu ditubuhkan, sambil menyatakan Sulaiman disokong semua ketua bahagian Umno negeri. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram