Dah penatlah, bagi orang lain pula − Sulaiman



Dah penat - itu kata Adun Lendu di Melaka, Sulaiman Md Ali, ketika ditanya media hari ini mengenai keputusannya berundur dari jawatan ketua menteri.

Tidak menuding jari kepada sesiapa, Sulaiman bahkan memberitahu "desakan" untuk melepaskan jawatan tersebut - yang disandangnya sejak Nov 2021 - tidak dibuat oleh sesiapa.

Sebaliknya, kata wakil rakyat yang mewakili Lendu sejak PRU ke-13 pada 2013 itu, ia datang dari kesedaran dan hatinya sendiri.

"Desakan (meletak jawatan) ni, hati saya... ia datang dari naluri - itu saja," katanya.


Sulaiman ditemui media selepas menyampaikan sumbangan Ramadan untuk kawasan parlimen Masjid Tanah di Kuala Linggi, hari ini.

Ditanya lebih lanjut mengenai perkembangan itu Sulaiman menjawab: "Dah penatlah, bagi orang lain peluang pulalah."'

Status Sulaiman sebagai ketua menteri menjadi perhatian tidak lama selepas kerajaan PH Melaka dijatuhkan kesan daripada Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan di Putrajaya.

Ia kemudian menjadi 'panas' semula menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Melaka. Ketika berkempen BN menegaskan bahawa Sulaiman adalah calon ketua menteri bagi gabungan itu jika mereka berjaya memperoleh majoriti.


Ia sekali gus menolak dakwaan jawatan tersebut akan berpindah tangan kepada bekas setiausaha kerja Umno, Ab Rauf Yusoh.

Beberapa hari lalu spekulasi mengenai pertukaran penyandang jawatan tersebut bertiup sekali lagi dengan nama Ab Rauf - yang juga Adun Tanjung Bidara - disebut-sebut ramai.

Ia turut dikaitkan dengan pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim di peringkat persekutuan.

Tanda tanya itu kemudian terjawab selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Sulaiman menyerahkan surat peletakan jawatan kepadanya pada Selasa.


Ahmad Zahid turut mengesahkan Umno menghantar nama Ab Rauf sebagai calon tunggal bagi dilantik sebagai ketua menteri kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Kata Sulaiman selepas tidak lagi menjadi ketua menteri dia mahu menjadi "macam dulu" semula.

"Saya nak duduk DUN (kawasan dewan undangan negeri), nak balik macam dulu," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dia berundur kerana faktor kesihatan seperti didakwa Ahmad Zahid, Sulaiman berkata: "Kita manusia mana ada sentiasa sihat.." − Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram