'Saya tak sedih' − Sulaiman



AYER KEROH: Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang melepaskan jawatan Ketua Menteri berkuatkuasa esok, meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri supaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya kelak.

Beliau berkata, jangan ada sedikit pun kekurangan khidmat untuk Ketua Menteri yang baharu, sebaliknya ia perlu sama seperti yang diberikan kepadanya sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

"Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini (Ketua Menteri), saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan serta sentiasa jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.

"Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan," katanya yang turut menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas ada hari terakhir memasuki pejabatnya, hari ini.


Video kesedihan Sulaiman ketika berucap turut tular di media sosial sejak pagi tadi.

Pertemuan turut membabitkan kira-kira 50 kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka, termasuk pegawai kanan, staf sokongan, kerani, pembantu tadbir, pekerja am serta pengawal keselamatan.

Beliau turut berharap semua kakitangan itu dapat dikekalkan untuk terus berkhidmat di pejabat berkenaan.

"Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya dan memberikan perkhidmatan sangat cemerlang sepanjang saya berada di sini.

"Sama-sama kita berdoa semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua," katanya.


Sulaiman, 58 yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu mengangkat sumpah jawatan kali pertama sebagai Ketua Menteri pada Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) bersama rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudiannya dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas BN menang besar ada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.

Kelmarin, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Ke-12 atas sebab faktor kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan hanya satu nama, iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.


Istiadat angkat sumpah jawatan akan diadakan di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Kompleks Seri Negeri kira-kira jam 3 petang esok.





Join our Telegram Channel
Telegram