Sulaiman Ali letak Jawatan Ketua Menteri Melaka



PETALING JAYA: Adun Lendu, Sulaiman Ali meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Sulaiman menyerahkan surat peletakan jawatan itu dalam pertemuan di pejabatnya di Parlimen semalam.

Katanya, beliau akan menghadap Yang di-Pertua Melaka, Ali Rustam untuk mengemukakan nama calon ketua menteri baharu.

“Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT untuk menerima watikah yang akan saya kemukakan dan majlis angkat sumpah (ketua menteri baharu) akan mengikut kesesuaian tarikh TYT,” katanya menurut Bernama.


Zahid bagaimanapun tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Ali mahupun jumlah calon dalam senarai itu.

Ditanya jika nama Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusof akan disenaraikan, Zahid berkata: “Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Kita tunggu pengumuman kerajaan negeri.”

Ditanya jika pertukaran ketua menteri itu sebahagian perancangan pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka seperti diumumkannya minggu lalu, katanya, ada kemungkinan ia akan berlaku.

“Kita akan lihat perkembangan terbaharu apabila ketua menteri baharu ini mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri selepas raya.”


Sulaiman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka pada November 2021, selepas Barisan Nasional memenangi PRN.

Terdahulu, spekulasi mengatakan Rauf dijangka menggantikan Sulaiman menerajui negeri itu.

Tetapi, Rauf dilaporkan enggan mengulas khabar angin Melaka akan mempunyai ketua menteri baharu “sehingga ada maklumat seterusnya”.

Sinar Harian melaporkan ketua menteri baharu itu akan mengangkat sumpah di hadapan Ali pada Jumaat ini bagi menggantikan Sulaiman. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram