Apa jadi dengan gelaran ‘Datuk’ Nor Salwani?



KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan tentang gelaran ‘Datuk’ yang diterima pegawai Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad.

Beliau membangkitkan persoalan itu kerana pada 1 Februari 2020, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan pernah mengesahkan bahawa gelaran Datuk itu dianugerahkan bagi menghargai jasa Nor Salwani menyimpan bukti pindaan ke atas laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, kata Mohd. Puad, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda deraf audit syarikat berkenaan.


“Ironinya, Nor Salwani dapat gelaran Datuk kerana jasanya simpan salinan asal laporan audit 1MDB tersebut,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika membaca penghakimannya semalam yakin bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan dengan sengaja meminda Laporan Pengauditan Akhir 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

Sebaliknya beliau yakin, Najib mengarahkan pindaan dibuat ke atas laporan itu supaya ianya tidak dijadikan ‘bahan politik’ untuk diputar belit kelak.


Mohd. Puad menambah, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pernah menafikan laporan audit tersebut dipinda.

“Kalau ia pun, apakah meminda draf tidak boleh? Seperti meminda draf ucapan Bajet berkali kali sebelum jadi draf terakhir,” jelasnya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram