Hadi: PN tidak kerjasama parti terpalit rasuah, kes mahkamah



TANGGA BATU: PAS dan PERIKATAN NASIONAL tidak akan bergabung dengan mana-mana parti terpalit dengan isu rasuah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Sabtu ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS dan PERIKATAN NASIONAL lebih rela menjadi pembangkang daripada mengadakan kerjasama dengan parti-parti seperti itu untuk membentuk kerajaan.

“Kita sanggup jadi pembangkang (daripada bergabung dengan parti terlibat rasuah). PAS jadi pembangkang puluh-puluh tahun tak jadi masalah.


“Kita tak mahu kerajaan yang tak bersih. Pendirian PAS masih sama. Kita berprinsip. Kita bukan parti yang hanyut,” katanya pada sidang media seusai program Santai Petang Bersama Tuan Guru Presiden PAS di Taman Desa Cheng Perdana di sini, petang semalam.

Turut hadir Calon PERIKATAN NASIONAL Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan calon PN Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Menurutnya juga PAS menolak Pakatan Harapan (PH) kerana sikap ekstrem dan membebaskan individu terbabit rasuah.

Kata beliau PERIKATAN NASIONAL menolak kerjasama dengan BN memandangkan ada pemimpinnya terpalit dengan isu rasuah tanpa berusaha membebaskan parti mereka dengan belenggu tersebut.


“Kita tahu mereka yang ada kes mahkamah masih menjadi pemimpin. Sebelum ini kita mengharapkan Perhimpunan Agung Umno diadakan sebelum pilihan raya bagi membolehkan perubahan dibuat, namun tak diadakan Perhimpunan Agung Umno.

“Manakala bahagian-bahagian Umno masih terus sokong pemimpin yang lama juga. Ini masalahnya. Kita harapkan pemimpin yang bersih.

“Masa tu kita mengandaikan pemimpin Umno membuat perubahan, tetapi tidak berubah,” ujar beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PERIKATAN NASIONAL menyasarkan menang majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya majoriti mudah pada PRU kali ini tanpa perlu bergabung dengan parti lain. – HarakahDaily 16/11/2022



Join our Telegram Channel
Telegram