‘Saya berbeza dengan Wan Saiful’, Muhyiddin tak letak jawatan, serah MPT Bersatu putuskan



KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menentukan sama ada beliau terus menjawat jawatan presiden.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukannya dalam Bersatu selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

“Saya akan bawa kedudukan saya pada MPT parti untuk mereka putuskan, kerana saya berbeza dengan Wan Saiful Wan Jan. Saya adalah presiden dipilih oleh parti.

“Saya akan serah kepada MPT dalam tempoh paling dekat apa sahaja keputusan mereka buat saya akan akur,” katanya pada sidang media.


Terdahulu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

Sementara itu, Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau tidak bersalah selagi belum diputuskan mahkamah.

Beliau turut mendakwa, keputusan menuduhnya di mahkamah sebenarnya dibuat lebih awal oleh “pihak paling berkuasa” dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Dakwanya, kerajaan hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.


“Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tidak akan mengajak rakyat dan penyokongnya turun ke jalanan untuk mempertahankan dirinya.

“Saya hanya berharap doa dan diberi keadilan. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid-19. Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup.

“Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara,” katanya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram