KDN rampas lebih 1,000 peralatan seks di Sepang



PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas alat permainan seks berjumlah RM115,000 yang dipasarkan secara dalam talian dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang di sini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Nik Yusaimi Yusoff, berkata rampasan pada 19 Disember lalu itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian PKK menerusi Ops Maya hasil pemantauan selama sebulan di laman jualan secara dalam talian.

"Ops Maya ini bertujuan untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembelian alat permainan seks yang dilarang kerana berlawanan dari segi moral dan budaya negara ini.


"Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Februari lalu dan dikenakan denda RM5,000.

"Hasil risikan mendapati penjualan itu sudah beroperasi sejak hujung tahun lalu dan barangan yang dirampas diimport dari China dan Thailand dengan hasil jualan boleh mencecah sehingga RM300,000," katanya pada sidang media Rampasan Alat Mainan Seks di sini hari ini.

Antara barangan yang dirampas terdiri patung seks, alat kemaluan lelaki dan wanita serta alat permainan seks yang dilarang di negara ini.

Nik Yusaimi berkata, barangan itu dijual antara RM70 hingga RM1,500 yang dipasarkan secara dalam talian di negara ini.


Katanya, KDN juga sedang melakukan siasatan lanjut sama ada terdapat rangkaian penjual lain yang memasarkan barangan terlarang itu.

"Pihak KDN tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk mengimport barangan terbabit dan menjadi kesalahan sekiranya berjaya dikesan dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kita akan meneruskan usaha membanteras aktiviti penjualan barangan tidak bermoral ini, termasuk memantau di laman jualan secara dalam talian," katanya. – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram