Penyokong PAS kecam konsert Blackpink yang diluluskan oleh PAS-PN



Penyokong Pas dilihat cuba mempolitikkan konsert Blackpink yang berlangsung Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi walaupun promosi bagi persembahan artis Korea itu berlaku sejak Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Hisyamuddin Ghazali berkata, kerajaan dengan gagasan Malaysia Madani tidak patut dipersalahkan atas kelulusan konsert itu.

“Konsert BlackPink International ini diiklankan di media sosial sejak 8 Ogos 2022 lagi. Waktu PN berkuasa. Kenapa nak salahkan Malaysia Madani?

“Iaitu waktu Presiden Pas jadi Duta Timur Tengah; Timbalan Presiden Pas, Naib Presiden Pas dan Setiausaha Agung Pas jadi Menteri. Malah, Menteri dan Timbalan Menteri Agama juga dari Pas.


“Bekas Menteri Komunikasi pula rakan baik Pas dalam PN sekarang,” katanya yang juga dikenali sebagai Syam Ghaz.

Beliau yang juga bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menempelak sikap Pas dalam Perikatan Nasional (PN) ketika berkuasa.

“Waktu kamu ada kuasa, kamu tak laksana dan jaga kesucian Islam. Kamu hanya reti bercakap, gunakan sentimen agama untuk menang PRU15, tapi bila ada kuasa tak buat pun!” tegasnya.

Syam Ghaz berkata demikian ketika mengulas trend penyokong Pas yang mengecam kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran penganjuran konsert kumpulan yang popular dengan lagu Pink Venom itu.



Untuk rekod, peminat Blackpink atau ‘Blinks’ sudah berada di lokasi konsert seawal jam 10 pagi semalam.

Mengulas lanjut, Syam Ghaz menyenaraikan banyak lagi isu yang menjadi bukti kegagalan Pas dan Bersatu yang membentuk kerajaan PN ketika menguasai Putrajaya.

Antaranya, membenarkan semua syarikat perjudian untuk menaikkan dari lapan kali kepada 22 kali cabutan khas sepanjang tahun serta kelulusan dua filem kontroversi iaitu Pulau dan Mentega Terbang.

Turut berlaku ketika pentadbiran PN ialah polemik berkaitan arak tempatan jenama Timah serta isu membabitkan wang ehsan kepada Kelantan dan Terengganu.


Malah, semasa PN berkuasa juga, Akta Laut Wilayah 2012 tidak dipinda serta Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 tidak pun diluluskan.

Tambahnya, banyak lagi penganjuran konsert penyanyi antarabangsa diluluskan ketika PN berkuasa termasuk Billie Eilish yang menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Selain itu, Justin Bieber, Calum Scott, Boys Like Girls dan Super Junior turut dibenarkan mengadakan konsert mereka antara Ogos 2022 hingga Oktober tahun lalu. – Malaysiadateline



Join our Telegram Channel
Telegram