Perak larang wakil rakyat, orang politik mengajar agama



Ipoh: Selain wakil rakyat, Ahli Dewan Negara dan individu yang memegang jawatan dalam parti politik dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah lJAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata, calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya, serta bekas Ahli Dewan Negara serta wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik juga termasuk dalam kategori yang dilarang berbuat demikian.

Katanya, ia selaras dengan ketetapan yang diputuskan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.


"Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, jawatankuasa kariah masjid dan surau dikehendaki sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah supaya selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat.

Pada 7 Januari lalu, media melaporkan keputusan sama ada menarik balik tauliah mengajar agama kepada semua wakil rakyat di Perak atau sebaliknya akan dibincangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Januari 2023. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram