'PKR tak kenang budi PAS' – Idris



PKR pimpinan Anwar Ibrahim didakwa tidak mengenang budi PAS selepas menguasai tampuk kerajaan di Putrajaya.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad mendakwa pelbagai penghinaan dilontarkan kepada pemimpin PAS meskipun sebelum ini merekabersama PKR mencetuskan gelombang reformasi.

Katanya, PAS berhati besar dan menerima apa saja kritikan dilemparkan pihak lawan secara terbuka.

"Malam ini kita berkumpul di tempat yang dulu kita cetuskan ucapan reformasi di sini, tapi apa boleh buat bila ada kuasa dia perkecilkan macam-macam kita ini. Tak apa PAS ini hati besar.


"Walaupun kami pernah berbakti dengan kamu, walaupun kami pernah berjasa dengan kamu, walaupun dewan inilah yang mencetuskan reformasi, dewan inilah yang mencetuskan ledakan rakyat.

"Tapi, apabila kamu ada kuasa apa kamu tak kata kepada kami, apa yang kamu tak hina tok guru kami...

"Rakyat boleh menilai," katanya ketika berucap selepas majlis solat hajat yang berlangsung di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.


Majlis solat hajat berkenaan diadakan sebagai sokongan kepada bekas perdana menteri yang akan dituduh di mahkamah esok berhubung penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Hampir 1,000 penyokong dan pemimpin PN hadir majlis berkenaan yang bermula sejak jam 7 petang.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yassin, solat Isyak dan seterusnya solat hajat.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut berucap dan menegaskan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah usaha pihak kerajaan untuk melemahkan PN.

Muhyiddin mengulangi pendiriannya bahawa dia tidak terbabit dengan salah guna kuasa serta penyelewengan dana awam.

Sebaliknya mendakwa ia sebagai satu pendakwaan terpilih untuk melemahkan PN serta memalukannya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram